21
Oct
08

kidnapped

…ialah tema malam persembahan tadika tempat anak saya, dani irfan belajar. danny adalah segelintir kanak-kanak melayu di tadika  genius superkids yang kebanyakannya dihuni kanak-kanak keturunan cina.

dan pada malam lapan belas oktober lalu, saya, isteri dan dean izzat hadir majlis malam persembahan dan penyampaian hadiah di kompleks masyarakat penyayang – sebagai sokongan moral buat danny.

menonton persembahan kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun sungguh menghiburkan sekali. berebut-rebut saya merakam gambar dan video untuk kenangan terindah itu.

telatah mereka memang mencuit hati – menghilangkan lara nestapa.

biarpun lenggok tari mereka kerap terkucil dari tempo. sesetengahnya kelihatan terpinga-pinga di pentas, sesetengah pula asyik meniru aksi rakan sebelah, sesetengah lagi begitu teruja menunjukkan bakat.

kendatipun tema malam persembahan berunsur jenayah, kanak-kanak itu, sebaliknya membawakan persembahan bersifat harmoni dan sarat dengan budaya penyayang.

kanak-kanak cina dan india segak berpakaian melayu menjayakan boria, yang melayu termasuk danny ligat meliukkan tarian singa dan sebaliknya. mereka tidak kekok menggayakan persembahan walau ia luar budaya masing-masing.

pendek kata, itu antara faktor yang membuat saya gembira dengan tadika ini. tidak terkilan saya membayar yuran bulanan tadika itu yang setanding dengan ansuran sebuah kereta bersaiz kompak buatan negara.

dan jika ada suara nakal mengatakan tadika itu hanya mengangkat atau mencungkil bakat kanak-kanak cina dan india saja, serta meminggirkan kebolehan kanak-kanak melayu, masakan anak sulung saya memperoleh nombor satu?

(alhamdulillah…)

bukan susah untuk pengurusan tadika mensabotaj danny jika benar mereka anti-melayu – bangsa yang suka berceloteh tentang siapa dulu menjejakkan kaki ke malaya hingga terlupa faktor orang asli.

selain pengajaran berkualiti, nilai murni termasuk perpaduan kaum diterap dengan baik  – jauh lebih kreatif daripada sajak ratu anjing yang melengking atau cerpen politik baru yb j.

membayang kembali suasana malam itu, jelas lagi pasti, sempadan budaya ditenggelami limpahan kasih sayang. mereka diajar berbaik-baik sesama insan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

tentu sekali mereka tidak diajar memanggil orang sebagai anjing atau mengajak membunuh bangsa lain, baik secara langsung mahupun menggunakan daya kreativiti bagi menyusup mesej negatif.

dan ketika melangkah keluar dari dewan kompleks itu, seusai malam persembahan kira-kira jam 10.30 malam, terlintas di fikiran saya – bukankah lebih baik jika ahmad ismail dan chamil wariya turut mendaftar di tadika itu.

teringin juga tengok mereka terkinja-kinja.


1 Response to “kidnapped”


  1. 1 maiyang
    October 23, 2008 at 4:03 pm

    haiyaaa manyak cantik blog lu. jelesss!!! wud u touch up mine for me? tengkiu. hahaha


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: